Sabtu, September 26, 2009

Kunjungan Di Hari Raya

Setelah menunaikan solat aidilfitri, jiran tetangga, sanak saudara, sahabat handai jauh dan dekat kunjung mengunjung menghulurkan salam kenalan sambil bermaafan antara satu sama lain. Duit raya dihulurkan kepada kanak-kanak dan menjamu selera tetamu yang datang, merekalah antara yang paling meriah dan gembira berhari raya.

Suasana bertambah ceria dengan pebagai fesyen dan warna-warni yang dipamerkan. Pendek kata semua raya, pakaian raya, kuih raya serta perhiasan raya. Bertukar-tukar juadah di pagi raya sesama jiran. Ada yang menyambut tetamu dengan cara menganjurkan rumah terbuka, ada juga yang berkonvoi merentasi jalanraya bagi mengunjungi saudara-mara dan sahabat handai tercinta. Tak kurang juga yang beraya di perantauan, di perbatasan dan sebagainya kerana tugas.

Oleh kerana puasa sebulan, ada yang beraya pun sebulan. Tapi ada juga hanya beraya pada 1 Syawal, kemudian berpuasa selama 6 hari (mulai 2 – 7 Syawal) dan beraya lagi pada 8 Syawal (Raya Enam).
Paginya mereka berhimpun di pusara kaum keluarga dan sahabat handai serta sama-sama membersih, berzikir dan menjamu juadah raya. Di setengah tempat, hari "Raya Enam" disambut dengan lebih meriah dan bermakna berbanding raya aidilfitri.

Bagi mereka yang mempunyai ramai saudara-mara dan sahabat handai, tempoh bercuti dirasakan singkat untuk mengunjungi antara satu sama lain. Kebiasaanya, hari pertama kita akan berkunjung atau dikunjungi jiran dan saudara setempat. Hari kedua, sanak-saudara dan rakan dari perantauan datang bertandang. Hari itu jugaklah nak ziarahi kenalan yang dah lama tak bertentang, Hinggakan ada yang berlekar macam ular sawa, mungkin keletihan…!!

Bagi yang berjauhan, kurang saudara-mara, kenalan dan jiran tetangga, mereka membawa anak-anak serta keluarga mengunjungi dan belajar berkenalan dengan warga di zoo negara.

Jumaat, September 18, 2009

Salam Aidilfitri 1430


Selamat Hari Raya,
Hari Yang Suci Mulia,
Kepada Muslimin Muslimat,
Panjang Umur Murah Rezeki,
Semoga Akan Berbahagia.


Allahuakbar allahuakbar allahuakbar, lailahaillalahuallahuakbar, allahuakbar walillah ilham. Sayu bergema takbir memuja kebesaran Ilahi, tanda tibanya hari raya setelah genap sebulan kita berpuasa.

Dikesempatan begini, anak-anak perantauan pulang kepangkuan ayah ibu tercinta serta sanak saudara yang lama tidak bersua. Menitislah air mata gembira si tua menyambut tibanya keluarga tercinta yang jauh di mata. Bahagianya tidak terkira pada yang mengerti apa yang tersirat disudut rasa.

Hati mana tidak tersentuh, apabila godaan nafsu, lapar dan dahaga telah direntasi dengan penuh daya usaha. Melihat ayah ibu dan anak-anak berseri-seri cahaya di mata dan wajah mereka untuk menyambut syawal tiba. Berkorban apa yang ada demi mengharapkan keceriaan pada yang tercinta. Kitalah paling bahagia apabila melihat mereka gembira. Terkenang pada yang telah tiada, besarnya jasa telah membahagiakan kita.

Sempena hari mulia, salam dihulur mohon kemaafan semoga bertambah erat silaturahim sesama kita. Namun kegembiraan menyambut hari bahagia tidaklah boleh dilupakan pada yang tiada upaya, tunaikanlah kewajipan agar kemeriahan dapat dinikmati bersama.

Dalam keghairahan menyambut kedatangannya juga, sebenarnya ramadhan telah beransur-ansur meninggalkan kita sebelum kembali apabila genap putarannya. Tapi setiap hari sisa umur makin berkurang, kelak datangnya lagi, sempatkah kita merasa…

“SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI ~ MAAF ZAHIR & BATIN”