Sabtu, April 11, 2009

Pandai & Bijak

Kebesarannya menjadikan pelbagai kejadian dengan sifat, tabiat, warna dan keupayaan yang berbeza. Tidak boleh dinafikan masing-masing mempunyai keistimewaan dan kelemahan yang boleh dilihat nyata atau sebaliknya.

Kehebatan diumpamakan..., misalnya banyak umpama buih di laut, sejuk umpama salji, lembut umpama bayu dan sebagainya.


Kelebihan serta keupayaan akal fikiran dianugerahkan kepada manusia berbanding haiwan menjadi perumpamaan, antaranya;

1. Burung pun pandai membuat sarang dan pulang bila tiba waktunya malam.

2. Berfikir sebelum lakukan atau menerima berita yang tak jelas usulnya.

3. Nada yang terjerik-jerik dikatakan buruk seumpama keldai.


Malah ada petua orang lama-lama supaya makan otak kancil ketika mengandung agar anak dilahirkan menjadi bijak, tapi;

1. Bukan menjadi bijak menipu untuk memperolehi keuntungan.

2. Bukan bijak memperdayakan pihak yang menaruh harapan.

3. Bukan bijak mentafsirkan sehingga boleh mengeliru dan tenggelamkan kebenaran.


Walaupun bodoh dikatakan seumpama lembu dan unta, itulah jugak haiwan yang bangga dijadikan korban. Walaupun diumpamakan sebagai jahat dan buruk perangai, beruk dan kera jugalah dibawa kesana kemari memberi bantuan.

Isnin, April 06, 2009

Mentera Janji

Menyusuk di lubuk hati,
Sejenak mencari erti.....
Apa kiranya cara terpuji.

Dalam lena diusik mimpi,
Malam sunyi berlalu pergi,
Siang dirindu menjelma lagi,
Dibakar terik bahang mentari,
Lagak gayanya tidak terhenti.


Aneka rupa bentuk dan warna,
Ikutkan hati tiada sempurna,
Ditimbal saksama sibijaksana,
Rata duduknya bagai di neraca.

Berseri purnama di langit tinggi,
Sebalik rimbun menyuluh bumi,
Bayang dilangit nampak dikali,
Rindu si pungguk tidak terperi,
Di bawah pohon mentera janji,
Mohon merayu dekat di hati.

Tiba masanya beredar jua,
Gelap gulita alam semesta,
Batu digesek memberi cahaya,
Kesian si pungguk terus memuja.

Rabu, April 01, 2009

Rahsia Tersirat

Tersirat pelbagai rahsia yang belum diceritakan, "Orang Tua Makan Garam Dulu" memberi maklum, walaupun berbeza tetapi asas kehidupan terlebih dulu dilaluinya tidak dapat disangkal lagi. Seumpama senikata lagu allahyarham biduan negara juga berbunyi "Ayah dan ibu, itulah permulaan kami".

Diingatkan agar berbuat baik kepada keduanya, jangan sekali menyinggung perasaan dan menderhakalah bagi mereka yang berbuat demikian. Betapa besarnya pengorbanan, setelah kandungan dilahirkan, mereka sekali lagi mengharungi pelbagai dugaaan untuk membesar seterusnya memberi pendidikan.


Tidak mengharapkan balasan wang ringgit yang telah dibelanjakan. Hanyalah kegembiraan dari sebuah penghargaan sebagai tanda kasih sayang. Disebutkan "Syurga di bawah tapak kaki ibu".

Bukan sahaja kepada ibu bapa, diperingatkan agar menghormati kepada yang lebih tua. Adalah merupakan satu perkara yang amat mengharukan apabila mereka tidak dihormati dan amat tidak bersopan bagi yang tidak menghormatinya.

Tak akan beterusan generasi menghormati yang tua jika yang muda tidak dimuliakan. Jarang diperkatakan dari hal "memuliakan yang muda".