Sabtu, September 26, 2009

Kunjungan Di Hari Raya

Setelah menunaikan solat aidilfitri, jiran tetangga, sanak saudara, sahabat handai jauh dan dekat kunjung mengunjung menghulurkan salam kenalan sambil bermaafan antara satu sama lain. Duit raya dihulurkan kepada kanak-kanak dan menjamu selera tetamu yang datang, merekalah antara yang paling meriah dan gembira berhari raya.

Suasana bertambah ceria dengan pebagai fesyen dan warna-warni yang dipamerkan. Pendek kata semua raya, pakaian raya, kuih raya serta perhiasan raya. Bertukar-tukar juadah di pagi raya sesama jiran. Ada yang menyambut tetamu dengan cara menganjurkan rumah terbuka, ada juga yang berkonvoi merentasi jalanraya bagi mengunjungi saudara-mara dan sahabat handai tercinta. Tak kurang juga yang beraya di perantauan, di perbatasan dan sebagainya kerana tugas.

Oleh kerana puasa sebulan, ada yang beraya pun sebulan. Tapi ada juga hanya beraya pada 1 Syawal, kemudian berpuasa selama 6 hari (mulai 2 – 7 Syawal) dan beraya lagi pada 8 Syawal (Raya Enam).
Paginya mereka berhimpun di pusara kaum keluarga dan sahabat handai serta sama-sama membersih, berzikir dan menjamu juadah raya. Di setengah tempat, hari "Raya Enam" disambut dengan lebih meriah dan bermakna berbanding raya aidilfitri.

Bagi mereka yang mempunyai ramai saudara-mara dan sahabat handai, tempoh bercuti dirasakan singkat untuk mengunjungi antara satu sama lain. Kebiasaanya, hari pertama kita akan berkunjung atau dikunjungi jiran dan saudara setempat. Hari kedua, sanak-saudara dan rakan dari perantauan datang bertandang. Hari itu jugaklah nak ziarahi kenalan yang dah lama tak bertentang, Hinggakan ada yang berlekar macam ular sawa, mungkin keletihan…!!

Bagi yang berjauhan, kurang saudara-mara, kenalan dan jiran tetangga, mereka membawa anak-anak serta keluarga mengunjungi dan belajar berkenalan dengan warga di zoo negara.

Jumaat, September 18, 2009

Salam Aidilfitri 1430


Selamat Hari Raya,
Hari Yang Suci Mulia,
Kepada Muslimin Muslimat,
Panjang Umur Murah Rezeki,
Semoga Akan Berbahagia.


Allahuakbar allahuakbar allahuakbar, lailahaillalahuallahuakbar, allahuakbar walillah ilham. Sayu bergema takbir memuja kebesaran Ilahi, tanda tibanya hari raya setelah genap sebulan kita berpuasa.

Dikesempatan begini, anak-anak perantauan pulang kepangkuan ayah ibu tercinta serta sanak saudara yang lama tidak bersua. Menitislah air mata gembira si tua menyambut tibanya keluarga tercinta yang jauh di mata. Bahagianya tidak terkira pada yang mengerti apa yang tersirat disudut rasa.

Hati mana tidak tersentuh, apabila godaan nafsu, lapar dan dahaga telah direntasi dengan penuh daya usaha. Melihat ayah ibu dan anak-anak berseri-seri cahaya di mata dan wajah mereka untuk menyambut syawal tiba. Berkorban apa yang ada demi mengharapkan keceriaan pada yang tercinta. Kitalah paling bahagia apabila melihat mereka gembira. Terkenang pada yang telah tiada, besarnya jasa telah membahagiakan kita.

Sempena hari mulia, salam dihulur mohon kemaafan semoga bertambah erat silaturahim sesama kita. Namun kegembiraan menyambut hari bahagia tidaklah boleh dilupakan pada yang tiada upaya, tunaikanlah kewajipan agar kemeriahan dapat dinikmati bersama.

Dalam keghairahan menyambut kedatangannya juga, sebenarnya ramadhan telah beransur-ansur meninggalkan kita sebelum kembali apabila genap putarannya. Tapi setiap hari sisa umur makin berkurang, kelak datangnya lagi, sempatkah kita merasa…

“SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI ~ MAAF ZAHIR & BATIN”

Ahad, Ogos 30, 2009

Tanggal 31, Bulan 8, '57

Hari mulia negaraku merdeka. Merdeka, merdeka, tetaplah merdeka, ia pasti menjadi sejarah…

Ulang tahun kemerdekaan kali yang ke-52 akan tiba. Ini bukan bermaksud pengistiharan kemerdekaan negara akan berlaku pada hari terakhir bulan Ogos setiap tahun. Ianya telah pun diistiharkan oleh YM Tunku dan digelar "Bapa Kemerdekaan" pada tahun 1957.

Ulang tahun kemerdekaan dirayakan pada 16 Ogos ~ 16 September, bagi mengingati sejarah dan perjuangan. Selain itu peningkatan pengisian akan disusun serta digerakkan mengikut peraturan dan peredaran masa bagi menjamin kesejahteraan. Pergerakan yang bercanggah akan menyulitan usaha untuk mengekalkan kemerdekaan yang telah dianugerah. Mereka adalah pengkhianat agama, bangsa dan negara.

Ada juga yang melontarkan pendapat bahawa, kemerdekaan akan datang pada tiap tahun. Bagi yang petah berpidatu, berceramahlah ia ke serata pelusuk. Bagi yang mahir berkarya, terpaparlah berbagai hasil karyanya. Mereka ini tetap akan memberi hujah-hujah dengan pelbagai kaedah selagi berupaya berbuat demikian.

Kemerdekaan juga telah ditafsirkan dengan pelbagai maksud, misalnya merdekalah hamba apabila ditebus atau dibebaskan oleh tuannya, bukan melarikan diri. Merdekakan minda yang telah dibelenggu dengan fahaman. Merdekanya jiwa yang sebelum ini terkurung disangkar. Merdeka bermaksud bebas...

Hakikatnya kemerdekaan hanya sekali, tak akan berlaku lagi. Jika masih inginkan pengistiharan kemerdekaan, kita perlu dibelenggu, dikurung atau dijajah semula. Ianya masih boleh berlaku dengan kaedah moden. Jika tidak, mana mungkin boleh memerdekakannya. Persoalannya perlukah dimerdekakan berulang kali?

Untuk itu sama-samalah kita memelihara dan menghargai apa yang telah dianugerahkan. Memahami erti serta mematuhi, bukan hanya berusaha mencari tanggal keramat bagi berhimpun serta melaungkan kalimat MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA…!!

Sabtu, Ogos 22, 2009

Ramadhan Kembali Lagi


Genaplah edaran masa yang menemukan semula ramadhan bulan mulia, dinanti-nantikan oleh umat islam keseluruhannya. Ada yang menantikanya kerana setelah perpuasa akan tibalah hari raya. Berpeluang untuk balik kampung, berkumpul, menziarahi sanak saudara dan jiran tetangga serta menggantikan perhiasan lama .

Ramadhan juga dirindui kerana ianya bulan untuk meningkatkan amal ibadat khususnya solat terawikh, zakat fitrah dan dikaitkan juga dengan malam lailatul Qadar, dikhabarkan akan datang sebagai malam yang sangat istimewa. Dinyatakan malam tersebut melebihi dari seribu bulan-bulan yang lain berdasarkan hadith AbuHurayrah.

Kesahihan akan datang malam tersebut terdapat percanggahan. Antaranya mengatakan lailatul Qadar akan datang pada malam ke-7 akhir ramadhan (Ibn 'Umar), Ada juga hadith menyatakan bahawa malam lailatul Qadar akan berlaku antara malam ke 29, 27 atau 25 ramadhan ('Ubada bin As-Samit). Namun Zirr ibn Hubaysh menyatakan malam lailatul Qadar pada malam 27 ramadhan. Sebaliknya 'Aisha menyatakan ianya akan datang pada sepuluh malam terakhir (bukan malam ganjil sahaja). Tidak terdapat hadith yang menyatakan nabi atau para sahabat yang menemui malam lailatul Qadar.

Sesungguhnya Al-Quran dengan jelas menerangkan tentang lailatul Qadar sebagaimana maksud surah Al-Qadr; [1] Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, [2] Dan adakah engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? [3] Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. [4] Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara. [5] Sejahteralah Malam itu hingga terbit fajar!

Bermaksud lailatul Qadar ialah malam yang mempunyai seribu kebaikan, tiada lagi malam yang lebih baik selainnya. Malam yang telah telah dipilih untuk dinurunkan kitab ajaran yang tebaik sebagai panduan. Walaupun tiada lagi Al-quran baru akan diturunkan dan malam seindah itu, malam-malam ramadhan dibukanya ruang dan untuk menambah ketaqwaan serta merendahkan diri terhadap yang maha esa.

Bukan untuk menyatakan lebih pandai dan mengambil alih tugasnya, menentukan siapa yang layak masuk syurga...

Sabtu, Ogos 01, 2009

Pemerhatian Dan Perasaan

Kebelakangan ini banyak forum memperkuatkan hujah dengan bukti-bukti kebesaran atau Mukjizat Allah. Ianya dipenjelaskan konon sebagai "ayat-ayat nyata" berkenaan kejadian alam yang aneh atau luar biasa.


(Gambar batu yang dikatakan turut sujud kepada Allah)

Misalnya, imaginasi dari bentuk semulajadi, tulisan atau kalimat berhubungan dengan Islam pada benda-benda atau makhluk-makhluk di alam, menjadi pengikut suatu gerakan, memberi perkhidmatan ikhlas akan beroleh kesejahteraan dan sebagainya.

Pernahkah kita bertanyakan dan mengkaji kesahihan tentang kebenaran mengenai perkara tersebut? Adakah pentafsirannya tepat dan sesuai dengan fakta. Perlukah kebenaran dibuktikan dengan cara seperti ini?

Tidakah terfikir, ada tersirat tujuan lain disebaliknya. Mungkinkah ianya hanya kreativiti pihak pengaturcara. Memanipulasikannya untuk mencari keuntungan dan apa yang dikaitkan, hanyalah sekadar mematikan langkah pendengar yang kurang berfikir agar taksub.

Tulisan ini tidak bertujuan untuk memperkecil, lebih-lebih lagi menolak kebenaran Allah tetapi untuk menunjukkan bahawa perlunya berfikir lebih kritis dan tidak sekadar menjadi pengikut yang taksub sehingga membawa kepada dipermain dan dipergunakan untuk mengaut keuntungan.


(Apakah warna sebenar "CatsEyeNebula" yg dikaitkan dengan
ayat 37 dari surah Ar-Rahman ini?)

Sesungguhnya berbagai bukti ilmiah, hasil penemuan ilmu dan teknologi manusia mutakhir, telah menunjukkan kebenaran dari ayat-ayat Allah. Jangan terlalu cepat terpedaya dengan susunkata dan alunan melodi yang menusuk jiwa.

Bagaimana jika ada bentukan-bentukan lain di alam (jika diimaginasi) berbentuk salib atau wajah serta lambang keagamaan atau kepercayaan lain. Adakah ianya juga bukti kebenaran agama tersebut?.

(Batu separuh timbul di Myanmar menyerupai
patung budha apabila ditebalikkan)

Bagaimana pemerhatian kita terhadap pencari pengaruh mengaitkan hujah mereka dengan nama-nama Allah?

Isnin, Julai 20, 2009

Perinsip Mempengaruhi Kehidupan

Sejak awal lagi telah diketahui banyak prinsip hidup yang menghasilkan pelbagai jenis pemikiran dan kehidupan. Ada yang berjaya dalam ekonomi dan teknologi, namun kehilangan sesuatu di dalam jiwanya.

Persekitaran dan pengalaman mempengaruhi cara bertindak. Bagi yang berperinsip penghargaan peribadi dan perlawanan akan mengutamakan keputusan yang dapat menonjolkan diri serta menjatuhkan lawan. Kepada yang berperinsip kumpulan akan mengutamakan kejayaan walaupun terpaksa mengorbankan diri sendiri. jelaslah bahawa suara hati sebenarnya merupakan titik permulaan segala tindakan diambil.

Oleh sebab itu jika diamati, terdapat pelbagai saranan yang kadang mengelirukan. Menganggap pihak lain salah atau lebih rendah darinya. Menanam sifat kebencian, menampilkan isu negetif dengan pelbagai tiori dan contoh kononya sebagai kebenaran. Sanggup juga pertaruhkan kaum sendiri serta bersekongkol dengan musuh demi untuk mencapai impian.

Hakikatnya tindakan yang tidak dilihat dengan mata hati akan meninggalkan kesan tidak baik seumpama penyakit yang sukar diubati. Percambahan idea akan dibelenggu, seterusya usaha untuk membangunkan ummah akan gagal. akhirnya akan terus berada di belakang dan tidak dapat menerima perubahan malah memaksa diri untuk mengatakan suatu yang baru adalah kesalahan.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa, mempertahankan suatu yang sepatutnya berubah akan hanya menjadi bahan kajian sejarah bagi mereka yang telah jauh melangkah ke hadapan. Keyakinan bahawa kepercayaan yang dianuti adalah umat yang gemilang tidak mampu dibuktikan. Menjejak langkah kejayaan lepas tanpa pembaharuan sekadar mampu mengembali dan mengekalkan tahap lepas.

Pembangunan minda dan fizikal dengan berpegang kepada prinsip kebenaran akan meletakan umat ditahap yang terbilang.

Jumaat, Julai 10, 2009

Mari Kita Lihat, Siapa Yang Kena...!



Sebelum ini kita pernah diperdengar serta dihidangkan artikel-artikel yang menyebut "Kerajaan Pasola" sebuah kisah dari filem allahyarham Tan Sri P. Ramli. Dalam masa menjemput penonton bersantai dengan adengannya, ada banyak pengajaran yang boleh diambil malah pernah terjadi sebagai kisah benar.

Tidak kurang menariknya, kisah bagaimana sebuah alat yang direka khas telah dinamakan buah, tapi tiada pokoknya. Alat ini telah terbukti membantu "sarjan pendek" memperolehi keuntungan.
Pengguna alat ini mesti mempunyai teknik mengendalikanya bagi menyakinkan ianya sah sebagai petunjuk kepada yang membuat pilihan.

Penyertaannya tidak terbatas kepada mana-mana kategori. Jika gagal boleh mencubanya lagi tapi kesahihannya tak boleh sangkal atau diteliti, malah permainanya pun tak boleh lebih 3 kali. Kepada yang mengharapkan kemenangan, ikuti ke mana saja permainan dibuka. Pastinya yang menyertai permainan ini akan rugi kecuali pengendalinya akan mencari tapak baru untuk terus menang.

Teringat senikata nyanyian "Raja gelek", satu ringgit, dua ringgit... kalau sudah naik angau....
Bagi yang taksub, mereka seolah-olah tidak berupaya lagi memikirkan nasib anak isteri yang memerlukan. Makan minun, pendidikan dan lain-lain keperluan serta kemudahan sebaliknya pihak lain akan dipertanggungjawabkan. Mengutuk, mencaci dan sebagainya di kedai-kedai kopi, wakaf atau di mana saja.

Walhal telah taksub kepada buah yang tiada pokoknya itu.

Sabtu, Jun 27, 2009

Hai, Camna Ni Tok Guru...?

Setiap hari, diasuh agar penuhkan air di tempayang, angkat kayu api dan lain-lain perkhidmatan sebelum naik belajar al-quran, Berkumandanglah pelbagai surah yang di hafalkan serentak oleh para murid sementara menunggu giliran untuk perbetulkannya. Terkadang kedengaran suara tok guru dari belakang rumah menegur kesilapan bacaan.


Tiba waktu malam, sementara menunggu masuk waktu solat isyak, tok guru membuka kitab. Dari hal memberi atau menyumbang diperingatkan agar pilih yang terbaik. Dalam perhubungan diperingatkan agar sayangkan sesama saudara seperti sayangkan diri sendiri serta menjauhkan diri dari hasutan syaitan dan yang menyekutukan allah.


Dikhabarkan juga dalam bab menegur diingatkan agar tertib, berhemah dan tidak menyinggung. Menghormati guru, muliakan tetamu, dilarang berperasangka buruk serta tidak menerima berita tanpa usul periksa. Sentiasa bersabar sebagaimana dicontohi baginda rasullullah menghadapi cacian dan herdikan malah dilemparkan najis daripada mereka yang tidak mahu berfikir serta menerima berita dibawa baginda, kononnya karut dan membuang masa.

Dibaca dan ditafsirkan kalam allah bagi memperjelaskan lagi perkara tersebut adalah perintah agar memperolehi kesejahteraan di dunia dan akhirat. Apabila salah seorang murid khatam quran, pulut kuning dipersembahkan dan disajikan kepada semua murid bagi meraikannya. Sebagai tanda membalas jasa pada tok guru, perbagai hadiah yang terbaik mengikut kemampuan ibu bapa. Alangkah bahagianya rasa…

Hari ini, ada insan yang digelar tok guru melakukan sebaliknya. Sewenangnya menuduh, mencaci sesama saudara serta membuat perbandingan suatu hal dengan yang tidak manis didengar, memperakui perkara yang bersalahan dan sebagainya hanya untuk mendapat sorakan. Dibacakan jugak ayat-ayat allah konon memperjelaskan kebenaran dari perihal tersebut. Bila zaman berubah, ustaz "rock" pun ada . Hai, bila dah digelar tok guru, kamu je yang elok dan betul...!!

Teringat kisah pengail yang mendapat ikan pelik lagi besar bertanyakan tok guru sama boleh makan atau sebaliknya. Mulanya tak boleh tapi setelah dimaklumkan cadangan untuk dibahagi dengan tok guru kerana terlalu besar, hukumnya halal setelah merujuk kitab yang lebih detail. Begitu juga dengan kisah isteri tok guru ditegur kerana menghadiahkan kain pelikat baru dibeli kepada si miskin yang datang kerumah semasa ketidaannya. Apa yang dimaksudkan tok guru, jika nak menghadiahkan padanya mesti yang terbaik, isteri kurang faham, alahai…!


Mulanya hanya menganggap sebuah sketsa nenek monyang untuk hilangkan mengantuk semasa mendengar tok guru membaca kitab. Rupanya perkara ini benar-benar berlaku, tajuk kisahnya tak sama la, akan memahami jika sudi memikirkannya.


Tok guru, tok guru… zaman dibayar elaun ni berniaga jugak kamu rupanya!!

Selasa, Jun 23, 2009

Bila Durian Gugur Ke Bumi



Hitam-hitam sitampuk manggis, kulit hitam isinya putih. Jambu batu tiga sekongkol, buah limau dipandang manis.



Belonggok dijaja di tepi jalan, durian raja buahan banyak kawasan menjadi larangan.



Buah cempedak di luar pagar,
jangan pulak menjadi nangka.





Rambutan sepi di hujung dahan.

Isnin, Jun 15, 2009

Semalam Ku Bermimpi, Bertemu...


Jika bermimpi melihat matahari dan bulan sujud kedua kepadanya alamat akan beroleh kerajaan dan beroleh anak baik lagi soleh lagi beruntung dunia dan akhirat. Demikian juga jika bertemu bintang, jika perempuan akan diminta orang.



Manakala jika bermimpi matahari dua, alamat akan musuh besar di dalam ngeri, jika mimpinya matahari belah dua, alamat rajanya akan hilang atau hendak binasa negeri itu. Begitulah menurut karangan kitab “taj muluk” dari hal tafsir mimpi.


(Letupan cakrawala yang besar lagi dasyat pada 3,000 tahun cahaya, telah dirakam oleh NASA)

- telah pun disebut dalam al-qu'ran
-


Alif, Laam, Raa'. Ini ialah ayat-ayat Kitab Al-Quran yang menyatakan kebenaran. Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya… surah Yusof

Sebuah surah yang menceritakan
fitnah, pengkhianatan, keikhlasan, kasih sayang, dan kemuliaan terhadap nabi Yusof a.s. Kebijaksanaannya mentafsir mimpi yang dianugerahkan telah memberikan kesejahteraan kepada negara dan keluarga tercinta.

Adakah desas-desus penyatuan puak hanya mimpi mainan tidur….?

Jumaat, Jun 05, 2009

Bagi Yang Berfikir

Hanyalah sebuah novel
mengisahkan kejadian alam, sifat dan warnanya
gunung, gurun, lembah, pantai serta sungai
haiwan, tumbuhan, bungaan serta buahan
samada di darat atau pun di dasar lautan
kecuali bagi mereka yang berfikir.


Di dalamnya mengandungi kebenaran, tualadan, teguran, panduan dan peraturan yang perlu difahami bagi menentukan kesejahteraan.


"BERUNTUNGLAH SIAPA YANG MEMELIHARANYA"

Sabtu, Mei 30, 2009

Sketsa Atuk - Memilih Calon...

Sempena cuti sekolah, cucu-cucu dibawa pulang ke rumah atuk, sungguh ceria nampaknya mereka. Rupa-rupanya ada sketsa yang disampaikan...

Kisahnya, bapa yang mempunyai seorang anak gadis jelita, sedang mencari-cari calon menantu. Beliau inginkan seorang pemuda yang berakhlak baik, tuturkata yang baik (tentu sekali bukan GOMO), rupa paras baik, dipendekkan, nakkan semuanya yang terbaik. Tak lupa, yang paling penting beliau nakkan seorang pemuda yang tahu berbahasa arab.
Suatu pagi, si anak yang telah sedia maklum keinginan bapanya telah pulang bercuti bersama seorang pemuda. Sungguh sopan…, memakai serban (tapi bukan... padiyappa) dahinya ada sedikit lebam. Pemuda terus memeluk si bapa serta mengucup-ngucup pipi kiri dan kanan. Bahagianya si bapa… tapi itu masih belum cukup syaratnya. Tengahari, mereka sekeluarga membawa pemuda menikmati keindahan alam disebatang anak sungai yang sungguh nyaman.
Sambil bertenggek di atas batu, pemuda memancing di sungai yang sangat jernih serta dingin airnya itu. Tiba-tiba, kail pemuda tersebut tersangkut, “Ahhh….. Wal-Katbatu!” jerik pemuda. Sharipah menyangka kail mengena ikan, bingkas bangun dan menerpa kepada temannya, Melihat kepada Sharpah, pemuda bersuara, Ya Syari… Kul-Na'mai, Lakalakabaik, Wal-ne'batu, Al-Li'cin, Syari lakalakabaik…!!” Uuuups..... sharipah terjatuh, dengan pantas pemuda melompat ke sungai mendapatnya, mereka ketawa besar dan terus mandi-manda. Pak Wahid tersenyum memerhati...

Setelah solat sunat lepas asar mereka pulang, makan malam dengan hidangan yang sungguh menyelerakan. Pada malamnyan di bawah seri cahaya bulan, pemuda mendendangkan syair (lirik syair Asmaul Husna). Al-Wahid, Al-Dangkal, Al-Sohheh, Al-Bu’takayyu, Al-Bu’dur, Al-Summat, Ya-So'daala…!! Pak Wahid yang asyik mendengarnya pun berdengkur. Esoknya, lepas solat sunat subuh, mereka berkemas seterusnya diiringi pak Wahid berangkat balik ke kota.

Demikanlah kisahnya, kata atuk pada cucu-cucu yang asyik mendengarnya. Sejurus cucu-cucu bertanya, “atuk, sudahkah pak Wahid temui calonnya?”. Jawab datuk “entah la cu… kita tunggu saja la…!!”. Sebertar kemudian, nenek membawa minuman & juadah, mereka menjamu selera. Cucu-cucu berebut menceritakan semula sketsa atuk kepada neneknya. Mereka ketawa lagi…!!

Ahad, Mei 24, 2009

Buat Mu Yang Tersayang...!!

Dialah yang menurunkan Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat "Muhkamaat" (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu isi Al-Quran dan yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat" (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu timbullah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing, adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu mencari-cari maksud mengikut selera hatinya. Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya, berkata: Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran. (A-li 'Imraan :7)

Kamu juga akan dapati golongan yang pura-pura, supaya mereka beroleh aman dari pihak kamu dan pihak kaumnya. Tiap-tiap kali mereka diajak kepada fitnah, mereka segera terjerumus ke dalamnya. Oleh itu, jika mereka terus mengganggu atau tidak menawarkan perdamaian dan juga tidak menahan tangan mereka daripada memerangi kamu, maka hendaklah kamu bertindak menawan mereka dan membunuh mereka di mana sahaja kamu menemuinya; kerana merekalah orang-orang yang Kami jadikan bagi kamu alasan yang terang nyata untuk bertindak terhadapnya. (An-Nisaa’:91)


Renungkan:

Setelah mendapat pendidikan dan keupayaan, layakah untuk ditakwilkan maksud "...bertindak menawan dan membunuh mereka..." sebagai tuntutan Al-quran. Tidak diperlukan ayat-ayat sebelum dan selepas untuk ditakwilkan.

Walaupun sejak janin membesar di kandungan sehingga dilahirkan… & biarpun sejak kecil di pusat pengajian hinggalah berkeupayaan… diawasi serta dibiayai kesihatan dan pendidikanya. Manusia yang mencari sumber dan menyuap rezeki tidak berkuasa memberi nyawa untuk meneruskan kehidupan.

Adakah mereka telah melakukan kesilapan apabila memberi pengentahuan dan menghukum atas kesalahan. Pastikah kini jelas dan nyata mereka telah terkebelakang, tidak lagi sealiran dan tidak lagi diperlukan.

Sabtu, Mei 16, 2009

Selamat Hari Guru


Para guru merupakan acuan membentuk insan yang menjadi kebanggaan. Merekalah yang telah menghasilkan insan mulia yang cemerlang. Amalan mulia mu akan dikurniakan ganjaran.

Sesungguhnya beruntunglah para guru yang telah berusaha dan berjaya menjadikan pelajarnya sebagai guru. Berbahagialah siapa yang menghormati gurunya, semoga menjadi pelajar sentiasa mentaati para guru yang ikhlas mendidik.

Rugilah mereka yang pesongkan ajaran untuk diwarisi, seterusnya menjadi pegangan dan amalan generasi pelapis. Terpikullah beban selagi mana ajarannya diamalkan.

Tahniah dan syabas, semoga perjuangan para guru sentiasa diberi petunjuk dari yang Maha Esa.

Selasa, Mei 12, 2009

Demi Masa

Jika "sukan pelaga ayam" terus di acarakan, nescaya akan sentiasa di dalam kerugian....


Berpesanlah ke arah kebaikan.

Jujur nyatakan kebenaran, telah dikeji dan diseksa oleh kaum malah keluarga sendiri. Terpaksa berhijrah bersama para sahabat yang setia, berharta, gagah lagi berani. Kembali semula dengan bilangan dan keyakinan yang lebih besar membuktikan kejayaan. Diperakui pakar dalam semua bidang, menggunakan peralatan terbaik (kuda bertanda, baju besi dll) antara misi kejayaan berkembang. Tercatatlah kegemilangan mendahului kemajuan yang menjadi sebutan dari zaman ke zaman.

Adakah ianya sebuah kenangan kegemilangan yang hanya menjadi bahan ungkapan dorongan di dalam sidang-sidang. Mengupas panduan yang digeruni untuk disangkalkan hanya bertujuan melindungi kepentingan persendirian. Akhirnya kegemilangan terus terkebelakang serta dianggap dongengan oleh pewaris yang mendatang.

Walaupun telah diwariskan panduan, terbukti bahawa bersatu serta berpegang satu perinsip perjuangan telah menempa kejayaan dan kegemilangan, namun masih jugak terdapat pelampau sehingga berlakunya pergolakan, muslihat dan perebutan. Tak lain, hanyalah untuk digelar sebagai tuan, sanggup pulak menghalalkan cara yang sebelum ini telah pun tertulis sebagai amaran.


Selain junjungan, masihkah terdapat insan yang tiada kelemahan. Mampukah jika digabungkan seluruh kelemahan untuk membina kejayaan. Mampukah kekuatan dikekalkan jika hanya sedikit demi sedikit berlakunya persengketaan. Kekuatan digunakan untuk melemahkan sesama sendiri, Perlukah dihancurkan terlebih dahulu agar boleh dibuat penyatuan?

Rabu, April 29, 2009

Jatuh Tangga, Timpa Tangga.

Jangan main di tangga, nanti jatuh tangga…!!


Terkadang membeber lagak tegurnya kerana terlalu bimbangkan keselamatan dari jatuh tangga. Namun begitu, teruja bila melihat kebolehan para akrobatik persembahkan menggunakan tangga.


Menjadi kelaziman, untuk sampai ke atas perlu panjat tangga. Akan tetapi hasrat tidak akan kesampaian walaupun sudah menghampiri puncak, jika tangga tersebut patah, terbalik atau apa-apa keadaan seumpamanya berlaku.


Bila agaknya akan berada di atas, jika belum pun melangkah anak tangga dah berebut-rebut untuk memanjat tangga. Terlalu teliti memilih yang layak memanjat tangga pun satu hal… yang gemuk dikhuatiri patah tangga sebelum sampai, yang kecil dikhuatiri tak mampu memetik hasil. Ada yang bepadanan pun dikhuatiri jugak… khuatir hasil tak dibawa turun, walau dah naik separuh tangga, yang di bawah pulak goyangkan tangga. Jatuh…. yang di bawah turut ditimpa tangga.


Mungkin jugak satu keseronokan melihat mangsa jatuh tangga, jika berada bawah tangga mungkin ditimpa tangga, Ada pepatah mengatakan “sudah jatuh ditimpa tangga”. jadi bolehlah berbuat sesuatu agar jatuh tangga ditimpa tangga dapat disaksikan untuk menghiburkan.


Walaupun bukan kisah "Ashaabul Kahfi", agak menarik juga mendengarkan dongengan manusia yang tersangkut di atas pokok telah pulang ke rumah dan mengambil tangga bagi membolehkannya turun.