Rabu, Januari 20, 2010

Tahun berganti lagi…


Kini 2010, tahun baru lagi... ada yang menyebutnya sebagai "Dua puluh, sepuluh" ada menyebutya "Dua kosong, satu kosong" dan sebagainya.

Sudah tentu tidak dapat dipisahkan dengan kenangan dan cabaran meneruskan perjalanan. Ada perkara baru akan berlaku serta tidak dapat melupakan peristiwa lepas dan mungkin kekal dalam ingatan.

Telah menjadi kelaziman, wujudlah azam baru, strategi baru, struktur baru dan pelbagai perkara yang diistilahkan sebagai baru. Mengadakan perkara yang tiada, menggantikan dengan yang baru dan menggilap agar kelihatan baru. Pendek kata ianya untuk peningkatan serta kepuasan.

Tak kurang juga ada yang membuat pembaharuan hanya memikirkan lebih banyak keuntungan peribadi berbanding hak awam. Memperakui hal-hal yang dibantah sebelum ini, malah sanggup juga meruntuhkan kebenaran demi mempertahankan keangkuhan. Mencipta pelbagai tafsiran dan dalil bagi mengaburi kejahilan.

Dalam keghairahan mencanangkan pembaharuan, terkadang menjadi bahan senyuman sinis kerana ianya telah lapuk dimilik orang, namun tetap pembaharuan pada yang bersesuaian atau belum berkempatan. Perlu juga difahami bahawa ada yang lama lebih bermutu daripada yang baru dikeluarkan dan tidak boleh diganti atau diabaikan.

Ada juga mengatakan, perubahan itu seupama roda berputar, tiba ketikanya yang atas akan ke bawah, begitulah jua hal sebaliknya. Adakah benar ianya tiada penghujung dan perkara silam tetap akan saling berganti, seperti siang dan malam. Bagaimanamana pula kebenaran tiap yang bermula akan berakhir, seperti hidup dan mati. Berapa kalikah ia akan berputar?

Apa pun, setiap rencana perubahan perlu dihayati serta dilaksanakan demi untuk kebahagian saksama. Perubahan yang bertentangan serta mengikut rasa hati yang diiringi bangga diri hanya akan menggelikan hati.

Sabtu, September 26, 2009

Kunjungan Di Hari Raya

Setelah menunaikan solat aidilfitri, jiran tetangga, sanak saudara, sahabat handai jauh dan dekat kunjung mengunjung menghulurkan salam kenalan sambil bermaafan antara satu sama lain. Duit raya dihulurkan kepada kanak-kanak dan menjamu selera tetamu yang datang, merekalah antara yang paling meriah dan gembira berhari raya.

Suasana bertambah ceria dengan pebagai fesyen dan warna-warni yang dipamerkan. Pendek kata semua raya, pakaian raya, kuih raya serta perhiasan raya. Bertukar-tukar juadah di pagi raya sesama jiran. Ada yang menyambut tetamu dengan cara menganjurkan rumah terbuka, ada juga yang berkonvoi merentasi jalanraya bagi mengunjungi saudara-mara dan sahabat handai tercinta. Tak kurang juga yang beraya di perantauan, di perbatasan dan sebagainya kerana tugas.

Oleh kerana puasa sebulan, ada yang beraya pun sebulan. Tapi ada juga hanya beraya pada 1 Syawal, kemudian berpuasa selama 6 hari (mulai 2 – 7 Syawal) dan beraya lagi pada 8 Syawal (Raya Enam).
Paginya mereka berhimpun di pusara kaum keluarga dan sahabat handai serta sama-sama membersih, berzikir dan menjamu juadah raya. Di setengah tempat, hari "Raya Enam" disambut dengan lebih meriah dan bermakna berbanding raya aidilfitri.

Bagi mereka yang mempunyai ramai saudara-mara dan sahabat handai, tempoh bercuti dirasakan singkat untuk mengunjungi antara satu sama lain. Kebiasaanya, hari pertama kita akan berkunjung atau dikunjungi jiran dan saudara setempat. Hari kedua, sanak-saudara dan rakan dari perantauan datang bertandang. Hari itu jugaklah nak ziarahi kenalan yang dah lama tak bertentang, Hinggakan ada yang berlekar macam ular sawa, mungkin keletihan…!!

Bagi yang berjauhan, kurang saudara-mara, kenalan dan jiran tetangga, mereka membawa anak-anak serta keluarga mengunjungi dan belajar berkenalan dengan warga di zoo negara.

Jumaat, September 18, 2009

Salam Aidilfitri 1430


Selamat Hari Raya,
Hari Yang Suci Mulia,
Kepada Muslimin Muslimat,
Panjang Umur Murah Rezeki,
Semoga Akan Berbahagia.


Allahuakbar allahuakbar allahuakbar, lailahaillalahuallahuakbar, allahuakbar walillah ilham. Sayu bergema takbir memuja kebesaran Ilahi, tanda tibanya hari raya setelah genap sebulan kita berpuasa.

Dikesempatan begini, anak-anak perantauan pulang kepangkuan ayah ibu tercinta serta sanak saudara yang lama tidak bersua. Menitislah air mata gembira si tua menyambut tibanya keluarga tercinta yang jauh di mata. Bahagianya tidak terkira pada yang mengerti apa yang tersirat disudut rasa.

Hati mana tidak tersentuh, apabila godaan nafsu, lapar dan dahaga telah direntasi dengan penuh daya usaha. Melihat ayah ibu dan anak-anak berseri-seri cahaya di mata dan wajah mereka untuk menyambut syawal tiba. Berkorban apa yang ada demi mengharapkan keceriaan pada yang tercinta. Kitalah paling bahagia apabila melihat mereka gembira. Terkenang pada yang telah tiada, besarnya jasa telah membahagiakan kita.

Sempena hari mulia, salam dihulur mohon kemaafan semoga bertambah erat silaturahim sesama kita. Namun kegembiraan menyambut hari bahagia tidaklah boleh dilupakan pada yang tiada upaya, tunaikanlah kewajipan agar kemeriahan dapat dinikmati bersama.

Dalam keghairahan menyambut kedatangannya juga, sebenarnya ramadhan telah beransur-ansur meninggalkan kita sebelum kembali apabila genap putarannya. Tapi setiap hari sisa umur makin berkurang, kelak datangnya lagi, sempatkah kita merasa…

“SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI ~ MAAF ZAHIR & BATIN”